Kisah hilang anak ini pernah dijadikan filem, tak sangka bertemu kembali selepas 24 tahun



BEIJING: Seorang lelaki China akhirnya berjaya dipertemukan semula dengan anaknya selepas 24 tahun terpisah tanpa khabar berita.

Guo Gangtang sanggup meredah perjalanan sejauh 500,000 kilometer (km) dengan membonceng motosikal di seluruh negara demi mencari anak lelakinya.

Mangsa diculik oleh dua lelaki di hadapan rumahnya di wilayah Shandong yang menjalankan sindiket pemerdagangan manusia.

Kehilangan budak itu memberikan inspirasi terhadap penghasilan filem pada 2015 yang dibintangi pelakon Hong Kong, Andy Lau.


Penculikan kanak-kanak menjadi masalah besar di China dengan ribuan menjadi mangsa setiap tahun.

Menurut Kementerian Keselamatan Awam China, pihak polis berjaya mengesan identiti kanak-kanak lelaki itu menggunakan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Lapor Global Times, dua suspek dikesan dan diberkas selepas itu.

China News melaporkan, dua suspek berjumpa dalam masa yang sama merancang untuk menculik mangsa dengan niat menjualnya bagi mendapatkan duit.

Selepas menyedari anak Guo bermain bersendirian di luar pekarangan rumah, suspek wanita yang dikenali sebagai Tang memegang dan membawanya ke stesen bas, sambil rakannya bernama Hu menunggu di situ.

Pasangan itu kemudian menaiki bas menuju ke wilayah berdekatan di Henan dan menjual mangsa di sana.


Mangsa didapati masih hidup dan tinggal di kawasan itu.

Guo dan isterinya tidak dapat menahan kesedihan dan memeluk erat anaknya apabila mereka sekeluarga berjaya disatukan semula di Liaocheng, Shandong, dan pertemuan itu disiarkan dalam stesen media CCTV.

“Anakku, akhirnya kamu pulang,” jerit ibunya.

Selepas anaknya diculik pada 1997, Guo dilaporkan mengembara berulang kali ke 20 wilayah di seluruh negara menggunakan motosikal.

Sepanjang proses pencarian itu, dia pernah patah tulang dalam kemalangan jalan raya, bertemu perompak lebuh raya dan motosikalnya mengalami kerosakan lebih sepuluh kali. – Agensi



Please subscribe



Please subscribe







Join our Telegram Channel
Telegram