KWSP buka permohonan i-Citra mulai esok (hari ini)



PETALING JAYA: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula esok, tiga hari lebih awal daripada tarikh jangkaan asal.

Justeru, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP memaklumkan,  ahli-ahli yang ingin mengemukakan permohonan dalam talian i-Citra dinasihat memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran tersebut.


“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan. Pembayaran pertama i-Citra dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula dari bulan Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu, sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19, serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan icitra.kwsp.gov.my dan ahli boleh merujuk laman komunikasi rasmi KWSP, laman web di www.kwsp.gov.my, atau hubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram