Tular dalam media sosial kononnya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT)
UMNO dua malam lepas, saya telah menyatakan UMNO akan rugi kalau Covid turun
dan ekonomi meningkat. Lalu saya dituduh kononnya saya sanggup memperjudikan
keselamatan rakyat demi politik UMNO.
Musuh UMNO suka potong ayat saya, persembahkan dalam konteks yang salah dan
disalahertikan untuk mengelirukan keadaan. Banyak hujah saya yang lain tidak
dilapurkan. Biarlah saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskannya.
Mesyuarat MKT baru-baru ini adalah untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan
sokongan terhadap Perdana Menteri atau tidak. Satu keputusan besar yang amat
berat untuk diputuskan memandangkan ada banyak pandangan mengenai
“TIMING” atau “masa yang sesuai” untuk berbuat demikian.
Ini mesyuarat politik parti terbesar negara. Ini bukan mesyuarat jawatankuasa
kampung atau jawatankuasa koperasi. Sudah tentu MKT akan membincangkan banyak
isu besar negara secara terbuka walaupun ada isu yang sensitif, nampak kasar
dan berisiko untuk disalah ertikan, terutamanya bila masa yang diberi untuk
berhujah agak pendek.
Kami dari awal lagi juga tahu bahawa perbincangan dalam mesyuarat itu mungkin
akan ditonton oleh orang lain kerana mesyuarat diadakan secara maya atau
online. Ternyata kebimbangan itu benar. Seorang menteri UMNO yang bukan ahli
MKT telah membantu menularkan tuduhan ini. Sebagai seorang ahli MKT, saya
wajib memberikan pandangan saya secara jujur dan ikhlas dalam mesyuarat
walaupun ada risiko ia akan disalahertikan oleh musuh UMNO.
Bila saya bercakap tentang “timing” untuk menarik sokongan kepada
Perdana Menteri ialah sekarang, saya bermaksud PBBM akan menggunakan taktik
untuk “mengenakan UMNO” bila keadaan sudah berpihak kepada mereka. Dalam
mesyuarat MKT tersebut saya bagi tiga contoh yang telah berlaku sebelum ini.
Pertama, bila UMNO memberi sokongan kepada PBBM untuk mengepalai kerajaan awal
tahun lepas, PBBM dengan sengaja memberikan UMNO jawatan menteri yang tidak
strategik. UMNO juga dinafikan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri
Terkanan walaupun UMNO adalah rakan komponen parti yang terbesar dan
signifikan dalam kerajaan. Kenapa? Kerana niat PBBM ialah satu sahaja, iaitu
melemahkan UMNO. Pada mereka lemah UMNO, bermakna kuatlah PBBM. Berjanji manis
semasa diperlukan, dikencingkan bila sudah mencapai tujuan.
Berjanji manis semasa diperlukan, dikencingkan bila sudah mencapai tujuan.
Kedua, Pilihanraya Negeri Sabah tahun lepas. Bila UMNO dengan berat hati
bersetuju untuk bekerjasama dengan PBBM (walaupun keputusan itu mendapat
tentangan kuat dari akar umbi UMNO), ramai calon bebas yang mesra PBBM ditaja
diuntuk menidakkan kemenangan BN/UMNO. Sekali lagi UMNO mesti dilemahkan untuk
PBBM menjadi kuat. Berbaik bila rumit dan susah, menikam dari belakang bila
sudah mendapat apa yang dikehendaki.
Ketiga, bila UMNO membantu Perdana Menteri dengan membuat keputusan untuk
mengundi menyokong bajet pada hujung tahun lepas, PBBM terus menekan UMNO
dengan berbagai taktik dan helah politik halus untuk melemahkan UMNO setelah
bajet diluluskan. Terkini ura-ura untuk mengujudkan perjanjian kerjasama
dengan DAP untuk mengekalkan kedudukan mereka adalah hipokrisi tahap tertinggi
kerana mereka jugalah yang menuduh kononnya UMNO sanggup berkerjasama dengan
DAP dan PH untuk meruntuhkan kerajaan sekarang (walaupun tuduhan itu sudah
berkali-kali dinafikan oleh mesyuarat MKT).
Berbaik-baik semasa terdesak, tetapi akan menekan bila sudah selamat. Pada
PBBM, konsep rakan kongsi tidak ujud dalam kamus politik mereka. PBBM memang
pandai bermain politik. Saya tabik.
Dalam konteks inilah saya menyebut tentang timing untuk menarik
sokongan kepada Perdana Menteri. Ada yang berhujah bahawa
timing sekarang tidak sesuai kerana Covid masih teruk. Itu pandangan
ikhlas dan boleh diterima. Tetapi saya jelaskan bahawa usaha negara kita untuk
menangani Covid tidak akan terhenti hanya bila seorang Perdana Menteri
bertukar, apatah lagi jika Perdana Menteri baru datangnya dari jajaran
kerajaan sedia ada.
Penjawat awam, jabatan kerajaan, pihak polis akan terus melaksanakan
tanggungjawab mereka walaupun ada perubahan Perdana Menteri. Perkhidmatan awam
tidak terhenti kerana sistem perkhidmatan awam diujudkan sebegitu rupa untuk
tetap beroperasi semasa pilihanraya, darurat, krisis dan perang.
Dalam mesyuarat MKT itu, saya juga dengan tegas menyatakan bahawa berjuta
rakyat Malaysia sudah bertukar status ekonomi. Yang berstatus M40 telah
menjadi B40, yang B40 menjadi miskin, yang miskin jatuh ke kategori miskin
tegar. UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib rakyat Malaysia
perlu mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan keadaan ekonomi negara
yang begitu mencengkam kehidupan rakyat. Usaha dan penat lelah UMNO selama
puluhan tahun sejak merdeka untuk mengujudkan kelas ekonomi yang baik dan
mampan untuk rakyat Malaysia khususnya orang melayu dan bumiputera, hancur
dalam sekelip mata.
Saya juga berhujah bagaimana usaha menteri-menteri UMNO dalam kabinet untuk
menangani Covid “disusahkan” atau “undermined” oleh sesetengah pihak dalam
kabinet. Bila menteri UMNO tutup pintu depan, orang lain buka pintu belakang.
Berlatar belakangkan fakta inilah, saya berhujah bahawa tidak mustahil PBBM
tidak akan memberi kredit kepada UMNO jika Covid sudah reda. Saya simpati
dengan menteri-menteri UMNO yang diarah oleh Perdana Menteri untuk mengurus
pandemik Covid ini. Mereka telah dikritik hebat ketika Covid begitu teruk.
Kebimbangan saya ialah bila Covid menjadi reda nanti, kerja menteri-menteri
UMNO yang bersusah payah ni tidak akan mendapat kredit yang sewajarnya.
Realitinya, PBBM telah berkali-kali membuktikan sebelum ini bahawa mereka
sanggup mengenepikan sumbangan UMNO demi survival atau kelangsungan politiknya
bila mereka sudah merasa selamat. UMNO akan “dirugikan” oleh PBBM bila Covid
sedang berleluasa dan “dirugikan” sekali lagi bila Covid sudah reda.
Saya tidaklah sebodoh yang didakwa oleh PBBM kononya mahu Covid ini berleluasa
supaya UMNO mengambil kesempatan politik dalam keadaan pandemik ini. Ramai
keluarga dan rakan terdekat saya meninggal dunia kerana Covid. Anak saya juga
telah dijangkiti Covid dan pengalaman itu amat menakutkan saya dan keluarga.
Ramai juga kenalan saya yang berdepan dengan masalah ekonomi dan kewangan yang
teruk yang akan memakan masa bertahun-tahun untuk pulih.
Isu besar disini ialah “trust-defisit” atau keyakinan merudum rakyat kepada
kebolehan Perdana Menteri menangani pandemik Covid. Sebagai ketua kerajaan,
jika Perdana Menteri tidak diyakini, apa pun yang beliau buat tidak akan
mendapat sokongan rakyat kerana tahap keyakinan rakyat yang amat rendah akan
menyebabkan usaha kerajaan tidak berkesan. Inilah antara sebab kenapa kempen
menangani Covid ini tidak berjaya.
Saya berharap penjelasan ini dapat memberi konteks yang betul dan tepat
mengenai perbincangan saya dalam MKT baru-baru ini. Saya maafkan mereka yang
suka memfitnah tapi saya tidak akan lupa.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak
mengetahuinya”.
Dato’ Seri Abdul Rahman Dahlan
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN:
- PANAS: TPM dedah PM bersekongkol dengan DAP secara sulit – Puad
- PANAS: Lagi pendedahan Mahiaddin bersekongkol dengan DAP
Join our Telegram Channel