Setiausaha akhbar kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed
Azmin Ali hari ini menggesa Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah
untuk mengundurkan diri.
Menulis di laman Twitternya, Adlin M Zabri berkata dia tidak setuju dengan
"penutupan menyeluruh" dan menuduh Noor Hisham gagal melakukan perancangan
sewajarnya.
"Pengarah Kesihatan. Anda jelas gagal melakukan perancangan yang tepat dan
semua penutupan penuh ini menunjukkan bahawa anda tidak mampu menangani (wabak
Covid-19).
"Tumpukan bidang pembedahan saja atau lagi baik berhenti," kata Adlin.
Adlin menulis ini ketika berkongsi artikel berita mengenai netizen yang
mengkritik Noor Hisham mengenai pengendalian pusat penilaian Covid-19 (CAC) di
Stadium Melawati.
Melalui ciapan lain di Twitter pada awal hari ini, Adlin secara sinis
menyarankan sektor perkilangan harus disalahkan atas wabak di pusat vaksinasi
IDCC.
Pada 10 Julai lalu, Adlin menyiarkan klip video memaparkan Ketua Teknikal
Covid-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Maria Van Kerkhove yang
bercakap mengenai cara untuk membendung penyebaran Covid-19.
Hantarannya itu disertakan dengan pesan: "Pengarah Kesihatan ... Harap (anda)
mendengar ini".
Putrajaya telah memutuskan untuk menutup lebih banyak kilang bermula 3 Julai
dan seterusnya untuk membendung penyebaran Covid-19.
Join our Telegram Channel