Polis siasat video pemimpin Bersatu menari dangdut langgar SOP



SHAH ALAM: Polis menyiasat sekumpulan individu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dipercayai ketika menghadiri kursus melibatkan sebuah parti politik di sebuah hotel di Glenmarie, April lepas. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, siasatan dibuat susulan satu laporan polis yang diterima semalam selepas video berhubung kejadian itu tular di media sosial.


“Pengadu mendakwa kumpulan individu tersebut dilihat sedang menari tanpa memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal di antara satu sama lain sehingga perkara itu tular menerusi media sosial.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baharudin berkata, jika sabit kesalahan, kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikenakan ke atas individu manakala RM10,000 ke atas penganjur.


Beliau berkata, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

Sejak semalam tular di media sosial satu video memaparkan sekumpulan individu berkumpul dan menari tanpa penjarakan fizikal selain turut tidak memakai pelitup hidung dan mulut sehingga mendapat kecaman daripada warganet. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram