PETALING JAYA: Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan
Johan “berperang” di Twitter, selepas naib presiden PKR itu mengkritik
kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) gagal menggunakan kuasa negeri
menutup kilang selepas lonjakan kes Covid-19 di negeri itu.
Rafizi berkata, walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI) membenarkan kilang beroperasi di Selangor, kerajaan negeri masih
mempunyai kuasa melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengarahkan kilang
ditutup.
“Kes Covid-19 tak turun-turun, ramai minta tutup operasi kilang.
“Soalan kepada kerajaan Selangor dan Menteri Besar @AmiruddinShari, kalau MITI
bagi lesen pelepasan pun, tapi kerajaan negeri (melalui PBT) tarik balik
lesen, kilang kena tutup jugakan?
“Kenapa tidak buat begitu? Mohon sekolahkan saya,” kata Rafizi menerusi
Twitter.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai kuasa berbuat demikian, kecuali semua kuasa
negeri digantung ketika darurat.
“Tak tahu pula semua digantung sedemikian rupa. Baca berita macam Melaka nak
ambil langkah begitu,” katanya merujuk cadangan menutup kilang yang
mencetuskan jangkitan Covid-19 oleh EXCO Melaka.
Terdahulu, EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal
Pengguna Melaka, Ismail Othman dilaporkan berkata, tindakan lebih drastik
dengan menutup sepenuhnya kilang mencetuskan kluster Covid-19 buat sementara
perlu diambil bagi mengekang penularan jangkitan yang menyumbang kepada
peningkatan kes di negeri itu.
Katanya, pelaksanaan tindakan itu akan dicadangkan kepada kerajaan negeri
dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 Melaka dalam masa terdekat bagi
memastikan semua pekerja dapat disaring dan dikuarantin, jika disahkan
positif.
Sementara itu, Syahredzan yang juga peguam menjelaskan kerajaan negeri tidak
boleh berbuat demikian kerana terikat kepada undang-undang.
“Kita marah bila kerajaan main buat suka hati, macam tiada undang-undang.
Lepas itu ada pula yang minta kerajaan negeri buat suka hati,” katanya
membidas Rafizi.
Rafizi kemudian memberi jawapan balas sambil meminta Syahredzan membaca akta.
“Awak itu peguam, sebelum nak sindir orang, ‘focus on solutions’, kalau
kerajaan pusat sekat, ‘then you get the political mileage for trying’. Itu pun
nak kena ajar?”
Berang dengan sindiran itu, Syahredzan meminta Rafizi membaca laporan penuh
berhubung maksud sebenar kerajaan Melaka.
“Exco Melaka itu baru cadang. Nak bawa bincang. Dia tak cakap pun dengan
menarik lesen PBT,” kata Syahredzan.
Rafizi kemudian menjelaskan berdasarkan semakannya, PBT boleh mengambil
tindakan kepada premis atau industri beroperasi dalam keadaan terdesak.
“Seksyen 102(s) di bawah bidang kuasa tambahan PBT memberi kuasa (melalui
kaedah pelesenan) untuk mengawal, menyelia (termasuk menutup) perniagaan atau
perindustrian dari jenis yang memudaratkan orang ramai,” katanya.
Beliau turut meminta Selangor menggunakan Akta PBT untuk menarik kelulusan
operasi yang diberikan MITI.
“Kenapa PH tak pikir benda ini, sudah berbulan-bulan orang mati dan kes naik
serta-merta,” katanya.
Rafizi turut membidas ahli DAP yang tidak bersetuju dengan cadangannya
berhubung penutupan kilang itu supaya tidak bersikap “defensive”.
“Kenapa budak-budak DAP kat Twitter ni ‘defensive; sangat tak nak guna kuasa
kerajaan negeri untuk tutup kilang? Lebih-lebih dari budak-budak
@AmiruddinShari pula.
Join our Telegram Channel