Rakyat koyak, lagi duduk rumah lagi kes tinggi, sampai bila?



PETALING JAYA- Rata-rata rakyat dilihat mula mempersoalkan pengorbanan mereka berkurung di rumah sejak sebulan lalu bagi mengurangkan jangkitan Covid-19 seakan-akan sia-sia selepas kes harian dicatatkan berterusan tinggi.

Lebih menyedihkan, rakyat mula meluahkan rasa kecewa setiap kali melihat kes dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) terus meningkat walaupun ada di antara mereka terpaksa mengikat perut kerana tidak dapat bekerja.

Kesemua luahan itu dilontarkan menerusi beberapa platform media sosial antaranya Facebook rasmi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan Twitter KKM.


Seorang pengguna Facebook, Nora Mohamed meminta Noor Hisham melakukan sesuatu bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.

“Kami sudah penat, tolong lakukan sesuatu,” katanya.

Bagi Pro Sasidaran pula, dia menulis perkataan sarkastik dengan mengucapkan tahniah atas kes dicatatkan Malaysia pada hari ini.

“Tahniah, tidak perlu fikir banyak, keadaan masih terkawal,” tulisnya.


David Lim pula mempersoalkan mengapa kes harian dicatatkan begitu tinggi sedangkan kebanyakan rakyat berada di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Saya tertanya-tanya, PKPD semua orang berada di rumah, mengapa kes tinggi? Sukar percaya, lebih baik beri semua keluar saja,” katanya.

Dalam pada itu, ada juga pengguna media sosial membuat andaian kes Covid-19 esok akan mencatatkan angka 10,000 berdasarkan tarikh 10 Julai.

Andaian itu dibuat berikutan kes yang dicatatkan hari ini lebih 9,000 manakala pada 7 Julai pula lebih 7,000 direkodkan.

Kes Covid-19 dicatatkan hari ini dilaporkan paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 9,180 kes. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram