Tukar niat curi kepada cabul selepas ternampak mangsa baru lepas mandi



KOTA KINABALU – Seorang wanita bukan hanya dibelasah, malah turut dicabul oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya dalam kejadian di Bukit Padang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, mangsa berusia 34 tahun terbabit bagaimanapun, berjaya menyelamatkan diri selepas bergelut dengan penjenayah dengan keluar meminta tolong daripada jiran dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang baru selesai mandi dikatakan diserang oleh suspek sebelum diheret ke atas tilam.


“Mangsa yang meronta-ronta dan menjerit meminta tolong akhirnya berjaya melepaskan diri walaupun beberapa kali ditumbuk serta dicekik oleh suspek.

“Kepala mangsa sekali lagi dipercayai dihentak ke dinding bilik namun wanita terbabit terus melawan sehingga berjaya membuka pintu utama rumah dan menjerit meminta pertolongan.

“Jeritan mangsa disedari oleh salah seorang jirannya sebelum membantu memeriksa keadaan belakang rumah dan melihat suspek melompat keluar dari tingkap rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaidi berkata, jiran mangsa mengenali suspek yang dikatakan turut tinggal di salah sebuah rumah di kawasan sama.


Beliau berkata, polis kemudiannya menahan suspek dan merampas pakaian yang dipakai ketika kejadian berdasarkan siasatan Jabatan Forensik dan maklumat yang diterima.

“Suspek mengaku masuk ke dalam rumah mangsa untuk mencuri namun selepas melihat keadaan mangsa, suspek bertukar niat dan cuba mencabul pengadu.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 akta yang sama atas kesalahan mencederakan mangsa,” katanya. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram