Ahli MKT bimbang Ismail umum Kabinet tanpa bincang dengan pimpinan parti selepas mesyuarat ditangguh lagi, kata sumber



PETALING JAYA: Kalangan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dikatakan “resah” dengan tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta mesyuarat MKT malam ini ditangguhkan sekali lagi dan bimbang beliau akan mengikut telunjuk Bersatu dalam menamakan barisan Kabinetnya.

Sumber dalaman Umno berkata, Ismail dikatakan mahu mesyuarat MKT ditangguhkan pada Khamis, iaitu sehari selepas beliau dijangka mengumumkan Jemaah Menteri pentadbirannya.

Menurut beliau, sebelum ini Ismail meminta mesyuarat MKT yang dijadualkan Sabtu lalu turut ditangguhkan.


Menurut sumber itu, kalangan MKT “amat bimbang” Ismail akan mengikut kehendak Bersatu dengan menamakan Azmin Ali sebagai timbalan perdana menteri.

“Kebimbangan besar Umno ialah Azmin disebut-sebut calon yang dipersetujui oleh Bersatu sebagai timbalan perdana menteri,” kata sumber itu.

Beliau berkata, kalangan MKT tidak akan bersetuju jika Ismail memilih Azmin, sebaliknya mahu jawatan nombor dua itu dikosongkan seperti mana dibuat oleh Muhyiddin Yassin apabila beliau membentuk kerajaan tahun lalu.

Hanya pada Julai lalu, Muhyiddin melantik Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Sumber itu berkata, jika Ismail bertindak mengikut kehendak Bersatu dan melantik Azmin sebagai timbalannya, MKT bimbang Ismail menjadi perdana menteri boneka “seperti lembu dicucuk hidung” parti pimpinan Muhyiddin itu.


“Jika Azmin dilantik TPM ia akan membawa imej buruk kepada kerajaan baharu bawah Ismail…dan Umno sekali lagi akan terpalit seperti mana dengan imej ‘Kerajaan Gagal’ bawah Muhyiddin,” katanya.

“Lagi pun dalam mesyuarat MKT sebelum ini sudah diputuskan dengan jelas bahawa kerajaan baru ini mestilah tidak dilihat sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0. Ini tugas berat kepada Ismail (iaitu) sama ada dia ikut pandangan parti atau ikut telunjuk Muhyiddin,” katanya.

Menurut sumber itu, kalangan MKT dan ketua Bahagian Umno juga tidak mahu Ismail melantik beberapa pemimpin parti yang disifatkan “kontrovesi” dengan pendirian tertentu yang diambil mereka sebelum ini dalam hubungan antara Umno dan Bersatu.

Antara lain, beliau menamakan Annuar Musa, Shahidan Kassim, Nazri Aziz, Mahadzir Khalid, Hishammuddin Hussein, Tajuddin Abdul Rahman dan Ismail Mohamed Said. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram