Harap jumpa Agong esok letak jawatan, jangan bubar Parlimen pulak, Puad nasihat PM



PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi mengharapkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyerahkan surat peletakan jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong esok, dan bukannya memohon Parlimen dibubarkan.

Beliau ketika dihubungi FMT berkata, Muhyiddin sudah tentu secara rasmi telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun bahawa beliau telah kehilangan majoriti.

“Adalah sesuai esok masa menghadap YDP Agong sebelum Kabinet bermesyuarat dia (Muhyiddin Yassin) serah surat letak jawatan.


“Sudah pasti Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat) maklum kepada PM, bahawa dia sudah hilang majoriti,” kata Puad.

Diminta mengulas mengenai jangkaan sama ada terdapat lagi ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan dari Umno bakal berundur, susulan tindakan Shamsul Anuar Nasarah meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Puad mengambil langkah tidak memberi komen sebagai menghormati anggota MKT yang masih berada dalam Kabinet kerajaan.

“Susah saya nak komen sekarang kerana menghormati kawan kawan menteri dalam MKT yang sebulat suara akur keputusan MKT tadi. Biar mereka umum keputusan mereka dulu seperti yang dibuat oleh Shamsul.”

Terdahulu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai majoriti selepas Ahli Parlimen Umno yang “mencukupi angka” memaklumkan Istana Negara mereka tidak lagi menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.


Ujarnya, surat akuan berkanun yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong itu “mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan (Ahli Parlimen Umno) terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri”.

“(Ia) sekali gus menunjukkan kepemimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.”

Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

“Muhyhiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah Agong dengan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat,” katanya. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram