Ismail Sabri bertemu sekumpulan MP UMNO Hotel Seri Pacific



KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO yang dikatakan cenderung memberikan sokongan terhadap Perikatan Nasional di Hotel Seri Pacific di sini awal pagi ini.

Beliau tiba kira-kira jam 12.30 pagi selepas menghabiskan masa kira-kira dua jam di kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.


Media yang menunggu di perkarangan hotel itu bagaimanapun tidak dapat bertemu Naib Presiden UMNO itu untuk ulasan lanjut kerana kenderaan yang membawa beliau memasuki tempat letak kereta di basement hotel berkenaan.

Terdahulu sekumpulan ahli Parlimen UMNO termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah berada di hotel tersebut dipercayai bagi membincangkan keputusan parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu petang Selasa.


Sidang media itu turut disertai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa ahli Parlimen UMNO lagi.

Alasan UMNO menarik dari dari memberikan sokongan terhadap PN dan Muhyiddin adalah rentetan daripada kemelut kerajaan dan Istana Negara berhubung pembatalan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat.

UMNO menyifatkan keputusan PN untuk tidak membahaskan pembatalan itu sedangkan Yang di-Pertuan Agong mahu ia dibahas sebelum diwartakan sebagai mengingkari institusi diraja yang menjadi tonggak negara. – MG


Kenderaan yang dipercayai membawa Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tiba untuk mengadakan pertemuan khas dengan sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.

Kenderaan yang membawa sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO beredar selepas mengadakan pertemuan khas di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.


Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berjalan keluar selepas mengadakan pertemuan khas dengan sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berjalan keluar selepas mengadakan pertemuan khas dengan sekumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2021.

Join our Telegram Channel
Telegram