Lelaki dari England jalan kaki ke Mekah



LONDON – Seorang lelaki dari England menjadi sensasi internet kerana melakukan misi untuk mengerjakan haji di kota suci Mekah dengan berjalan kaki secara solo sejauh 6,437 kilometer, lapor portal berita Birmingham Mail kelmarin.

Adam Mohammed yang berasal dari bandar Wolverhampton, melakukan misi tersebut dengan hanya berbekalkan sebuah ‘troli’ yang dibinanya sendiri yang berfungsi sebagai ‘rumahnya’.

Troli seberat 200 kilogram hingga 250 kilogram itu mengandungi makanan dan peralatan memasak serta akan menjadi tempat tidurnya untuk pengembaraan selama setahun itu.


Berdasarkan akaun TikToknya, @peacejournyfromuktomecca, Adam memulakan perjalanannya pada 2 Ogos lepas. Pada awal minggu ini, seorang pengguna memberitahu bahawa dia meihat lelaki itu berjalan di bandar Coventry, England.

Ketika melalui negara itu sahaja, Adam berjaya mengumpul lebih 400,000 pengikut di TikTok dan 2.8 juta tanda suka daripada pengguna yang kagum dengan semangatnya.

Meskipun terpaksa meninggalkan isteri dan dua anaknya, lelaki itu tetap bersemangat tinggi dan berkongsi kisah perjalanannya setiap hari secara live.

Ketika dalam perjalanan, dia turut menerima pelbagai bantuan termasuk makanan daripada penduduk setempat selain sumbangan wang tunai daripada orang ramai yang dibuat menerusi kutipan dana.


Berdasarkan keterangan pada laman web kutipan dana tersebut, seorang individu yang pernah bercakap dengan Adam memberitahu, lelaki itu melakukan misi tersebut bukan kerana wang atau populariti.

“Dia ingin memberitahu kepada semua orang di seluruh dunia bahawa kita semua adalah sama dan tiada sesiapa yang lebih baik daripada orang lain,” katanya.

Adam dijangka tiba di Mekah sebelum musim haji pada tahun 2022. – Agensi

 

Join our Telegram Channel
Telegram