Istana utus surat mahu tahu jumlah sokongan pada Mahiaddin, tuan Speaker enggan ulas



Istana Negara didakwa memohon pengesahan speaker Dewan Rakyat berhubung jumlah sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan surat yang tular, Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara mengutuskan surat kepada Speaker, Azhar Harun pada 9 Ogos.

Sumber yang mengetahui perkara itu mengesahkan kesahihan warkah berkenaan kepada Malaysiakini.

Melalui warkah itu, Yang di-Pertuan Agong ingin mendapatkan kepastian jumlah sokongan kerajaan.


Istana berkata, Azhar melalui surat pada 3 Ogos memberitahu kedudukan semasa sokongan kepada Muhyiddin adalah 106 orang.

Bagaimanapun, kata istana, pada 4 dan 6 Ogos, dua anggota jemaah menteri meletakkan jawatan, menjadikan jumlah sokongan berkurangan dua orang.

"Pihak Istana Negara juga mendapat makluman bahawa empat ahli Dewan Negara telah menukar pendirian dan telah menyokong YAB perdana menteri.

“Walaubagaimanapun sehingga kini tiada laporan rasmi daripada YB Datuk berkaitan perkara tersebut.


"Sehubunan dengan itu pihak Istana Negara memohon laporan terkini mengenai bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokong YAB perdana menteri untuk disembuh maklum kepada KDYMM Yang di-Pertuan bagi apa-apa perkenan selanjutnya," kata surat berkenaan.

Surat terbabit ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Azhar diminta menjawab surat itu sebelum jam dua petang pada 10 Ogos - dua hari lepas.

Pada 9 Ogos lalu, Umno mendedahkan 13 surat membabitkan ahli parlimen termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Kimanis, Mohamadin Alamin yang tidak lagi menyokong Muhyiddin.


Selain itu turut tersebar surat dikatakan jawapan balas Azhar. Bagaimanapun perkara ini belum dapat disahkan.

Malaysiakini sudah menghubungi Azhar dan masih menunggu penjelasannya.

Bagaimanapun, portal Malaysiapost melaporkan Azhar enggan mengesahkan mengenai ketulenan surat balasannya kepada istana.

“Maaf, saya tak boleh komen mengenai komunikasi rasmi saya, lebih-lebih lagi kalau dengan pihak istana,” dia dipetik sebagai berkata menerusi aplikasi WhatsApp. – Mkini 



Join our Telegram Channel
Telegram