‘Sultan Melaka’ meninggal dunia



KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan yang pernah menggemparkan negara selepas mendakwa dirinya Sultan Melaka, Noor Jan Tuah dilaporkan meninggal dunia pada jam 8 pagi tadi.

Berita kematian Noor Jan dikongsikan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menerusi akaun Facebook peribadinya, hari ini,

Dalam pada itu, tular di media sosial ucapan takziah dalam kalangan netizen selain hantaran berhubung kematian Noor Jan dengan tanda pagar #covidfighter.


Difahamkan, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini, petang tadi.

Noor Jan, 64, dari Taman Seri Gombak, dekat sini, pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa dia adalah Sultan Melaka.

Pada 2016, dia pernah dituduh di Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka dengan empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai sebagai Sultan Melaka di sebuah pusat peranginan di Alor Gajah.

Noor Jan didakwa menyamar sebagai Sultan Melaka dan mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang serta darjah kebesaran yang tidak diiktiraf kepada empat lelaki berusia 35 hingga 66 tahun


Kesalahan itu dilakukan pada satu majlis di sebuah resort di Alor Gajah, pada 28 Disember 2013 dan dia didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pada Julai 2018, Mahkamah Sesyen Air Keroh melepaskan dan membebaskan Noor Jan daripada empat pertuduhan menipu dan menyamar.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan, namun pada April 2019, Mahkamah Tinggi Melaka mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen berikutan kegagalan pihak pendakwaan menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Susulan itu, pihak pendakwaan sekali lagi mengemukakan rayuan dan pada Januari tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan Noor Jan. – BHarian


 
Join our Telegram Channel
Telegram