UAE sumbang 1 juta dos vaksin Covid-19 – Hishammuddin



PETALING JAYA: Malaysia bakal menerima sumbangan sebanyak satu juta dos vaksin Covid-19 daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membantu negara memerangi pandemik.

Menteri Kanan Luar Negeri Hishammuddin Hussein, berkata hubungan akrab Malaysia dan UAE terus membawa manfaat terhadap usaha negara menangani cabaran pandemik Covid-19.


Katanya, bantuan berkenaan bukan kali pertama yang disumbangkan UAE apabila negara menerima lebih tujuh tan peralatan perubatan dalam membantu petugas hadapan memerangi Covid-19, di awal penularan wabak tahun lalu.

“Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawat, Yang Mulia Putera Abdullah Zayed Al-Nahyan dan kerajaan UAE! Keprihatinan yang sangat dihargai Malaysia!” katanya dalam catatan di Facebook.


Ia menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan vaksin Covid-19 yang diterima Malaysia daripada beberapa negara kepada hampir lima juta dos.

Sebelum ini, negara menerima sumbangan 415,000 dos vaksin AstraZeneca daripada United Kingdom, satu juta dos vaksin Pfizer daripada Amerika Syarikat, satu juta dos vaksin AstraZeneca daripada Jepun dan 500,000 dos vaksin Sinovac daripada China. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram