Ahmad Maslan setuju jadi Timbalan Speaker



PETALING JAYA : Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dikatakan telah bersetuju dicalonkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Ahmad berhubung pencalonan itu dan Setiausaha Agung UMNO tersebut menyatakan persetujuan.

“Sah, betul Datuk Seri Mat Maslan menjadi calon bagi blok kerajaan untuk Timbalan Speaker. Kita telah bertemu dengannya dan beliau bersetuju.


“Saya berharap pencalonan ini diterima semua wakil rakyat kerajaan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pihak pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kedudukan Yang Dipertua Dewan Rakyat dipercayai tidak berubah dengan Datuk Azhar Azizan Harun kekal manakala jawatan Timbalannya yang kosong difahamkan akan diisi oleh Ahmad.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri berkata, nama Pengerusi Majlis Ahli Parlimen (BBC) kerajaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Pre-Council ahli Parlimen kerajaan yang akan berlangsung di Putrajaya pada Ahad ini.


Katanya, setakat ini kekosongan itu masih diisi ekoran Pengerusinya sebelum ini, Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

“Nama Pengerusi BBC kerajaan akan dibincang pada mesyuarat Pre Council yang berlangsung menjelang sidang Parlimen pada minggu depan,” katanya.

Pengerusi BBC kerajaan sebelum ini disandang oleh Shahidan dan beliau kemudian dilantik menganggotai Kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Utusan




Join our Telegram Channel
Telegram