Kakitangan PKD Jasin didakwa 9 tuduhan rasuah, guna syarikat adik



PETALING JAYA: Seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas sembilan pertuduhan menerima suapan membabitkan nilai lebih RM31,000 pada 2018

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh Ab Hanif Ab Hamid, 40, sebagai pegawai badan awam didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga sembilan, tertuduh menggunakan kedudukannya bagi mendapat suapan membabitkan permohonan pembekalan pelbagai barangan termasuk mangkuk tandas, alas kaki, cat, racun dan mesin rumput yang kesemuanya berjumlah RM31,099.50.


Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) PKD Jasin, antara 4 Julai 2018 hingga 28 Nov 2018.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikuti Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Ab Hanif mengaku tidak bersalah sejurus semua sembilan pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Syakila Yaacob, manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin.

Nur Syakila mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000, dan mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan selain memerintahkannya melapor diri dua bulan sekali ke pejabat SPRM negeri.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 20 Oktober ini. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram