Kamu bukan satu-satunya parti India, kata Ahli MKT Umno kepada MIC



PETALING JAYA: Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menggesa supaya MIC menerima kenyataan bahawa ia bukanlah satu-satunya parti politik yang mewakili komuniti India.

Sambil menggesa parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menyokong Parti Makkal Sakti Malaysia, Puad Zarkashi berkata kepentingan gabungan itu harus menjadi keutamaan yang mengatasi segala-galanya dan sebab itu, wajar untuk mereka mengalu-alukan kehadiran parti baharu ke dalam BN.

“Sekiranya MIC komited terhadap demokrasi, ia harus meraikan kepelbagaian. Jangan menahan sokongan daripada komuniti India terhadap BN, melalui Makkal Sakti atau MIUP dan IPF,” katanya yang merujuk Parti India Bersatu Malaysia dan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia.

Puad mengulas kenyataan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi apabila gabungan itu akan memberi tempat untuk Makkal Sakti bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Makkal Sakti, parti mewakili kaum India yang diasaskan oleh bekas pemimpin Pasukan Tindakan Hak Hindu (Hindraf) bukan sebahagian parti komponen dalam BN walaupun telah bertahun-tahun menyokong gabungan itu.

Sebelum ini, MIC dikatakan menyekat cubaan untuk parti-parti mewakili komuniti India yang lain untuk menjadi komponen BN, dengan menggunakan kuasa veto di bawah sistem konsensus di mana ia memerlukan persetujuan daripada semua parti komponen sebelum parti lain dibenarkan menyertai BN.

Puad berkata BN memerlukan segala sokongan yang diperlukan untuk kembali berkuasa.

“MIC harus melihat perkara ini dari sudut realiti dan memudahkan laluan BN untuk menarik penyokong, menambah ahli dan bekerjasama dengan yang lain.”

Beliau juga berkata, Makkal Sakti telah menunjukkan kesetiaan dan kesabaran mereka dengan menjadi rakan sekutu selama 13 tahun.


“Apabila BN hilang kuasa dalam PRU14, ia tidak meninggalkan BN seperti Gerakan, PBS, Upko dan lain-lain. Makkal Sakti terus menyokong walaupun ia hanya sekadar ‘rakan BN’,” katanya.

Puad berkata beliau percaya bahawa presidennya Makkal Sakti RS Thanenthiran juga perlu dilantik sebagai senator.

Zahid mengeluarkan kenyataan mengenai Makkal Sakti sebulan selepas Umno mempersoalkan kesetiaan MIC ketika parti Melayu itu berdepan isu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang mana pada Ogos lalu ia menegaskan MKT Umno hanya berfungsi sebagai ‘caretaker’ berikutan tempoh pemegang jawatan bagi penggal mereka telah tamat pada 30 Jun lalu dan tidak boleh membuat sebarang keputusan.

Presiden MIC SA Vigneswaran kemudiannya menggesa supaya Zahid digantikan dengan pengerusi BN yang baharu, sekali gus mencetuskan kritikan daripada pemimpin kanan Umno. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram