Nenek ditahan sertai parti liar



PETALING JAYA: Nenek kepada dua cucu dan remaja sekolah antara 17 yang ditahan dalam parti liar sambutan hari lahir di sebuah kediaman mewah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Penahanan yang membabitkan lapan lelaki dan sembilan wanita berusia antara 13 hingga 54 tahun itu dilakukan dalam serbuan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada jam 11.55 malam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Sahar Abd Latif, hasil pemeriksaan turut menemui pil ekstasi seberat seberat 10.73 gram bernilai RM464 dan ketamin seberat 2.88 gram bernilai RM400.


Katanya, polis turut merampas kunci, kad akses, satu unit pembesar suara dan lampu laser.

“Ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki dan empat wanita disahkan positif Methamphetamine dan ketamin.

“Siasatan awal mendapati, penganjur parti liar itu adalah wanita berusia 23 tahun dan ia dianjurkan sempena menyambut hari lahirnya,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.

Selain itu, Sahar berkata seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang ditahan dalam serbuan itu dikatakan mengikut abangnya menyertai parti berkenaan.


“Kita turut menahan seorang wanita berusia 54 tahun yang mempunyai dua cucu. Mereka menyewa premis ini dengan harga RM350 sehari dan tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung,” katanya.

Katanya, polis turut mengenakan kompaun RM2,000 kepada mereka yang dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (No. 2) 2021.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Pemilik kediaman dan penganjur juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13(a) ADB 1952,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram