Putrajaya-PH meterai MoU bersejarah pulihkan kestabilan politik, atasi krisis Covid-19



PETALING JAYA: Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dan blok utama pembangkang, Pakatan Harapan, menempa sejarah malam ini apabila memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) ke arah memulihkan kestabilan politik demi mengatasi kemelut ekonomi dan kesihatan akibat pandemik Covid-19.

Ismail dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bersama pemimpin utama DAP, Amanah dan UPKO akan menandatangani MoU itu di Parlimen esok, sempena persidangan pertama Dewan Rakyat sejak Ismail dilantik sebagai Perdana Menteri baharu bulan lalu.

Kejayaan memperolehi persetujuan PH memeterai MoU itu dilihat kemenangan awal yang amat bermakna buat Ismail.


Ia menyusul hanya beberapa minggu setelah pembangkang dan pucuk pimpinan Umno menolak tawaran kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin yang dianggap gagal menangani pelbagai isu berhubung Covid-19.

MoU itu dikatakan meletakkan asas kepada kerajaan dan PH mencapai persetujuan untuk memeterai persetujuan berbentuk perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) bagi membolehkan blok pembangkang itu memberi sokongan kepada usul-usul penting yang akan dibentangkan kerajaan, seperti Belanjawan 2022.

Intipati MoU antara Putrajaya-PH yang dimuktamadkan malam ini akan didedahkan sepenuhnya kepada umum ”sebagai komitmen kepada keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban”, menurut kenyataan bersama Putrajaya dan PH.

“Semua pihak telah bersetuju bahawa memorandum ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara ‘dwipartisan’,” menurut kenyataan itu.


Kerajaan dan PH berharap MoU itu akan merintis jalan untuk kedua-dua pihak memberi tumpuan utama kepada “landskap politik baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tatakelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen”.

Jumaat lalu, Ismail mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Antara lain, kerajaan pimpinan Ismail mencadangkan had tempoh jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun, menggubal rang undang-undang antilompat parti, melaksanakan pindaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan memberi saraan serta kemudahan yang setara menteri kepada Ketua Pembangkang. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram