Kuala Lumpur: "Jangan tukar cerita", itu teguran pemilik kelab Johor Darul
Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Jelas Tunku Ismail, beliau tidak pernah berbohong ataupun salah tafsir
mengenai isu RM10 juta membabitkan baik pulih padang di Stadium Nasional Bukit
Jalil (SNBJ).
Sebaliknya Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu menegaskan Faizal Azumu sendiri
menyatakan kos RM10 juta itu adalah jumlah untuk kegunaan di SNBJ di mana ia
turut didengari saksi lain.
"Saya ada ramai saksi malam itu beliau cakap 10 juta, apabila saya tanya
berapa bajet buat padang SNBJ. Jadi, jangan tukar cerita," katanya di laman
sosial.
Sebelum ini, Tunku Ismail mempersoalkan kos RM10 juta yang diperlukan untuk
membuat padang baharu di SNBJ.
Katanya, kos itu terlalu tinggi kerana beliau hanya memerlukan RM1.4 juta
untuk membuat padang menggunakan rumput jenis Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim
(SSI) yang lengkap dengan sistem perpaipan, perparitan, tanah dan pelbagai
lagi.
Namun, kelmarin, Menteri Belia dan Sukan itu menafikan kos membuat padang
baharu di SNBJ membabitkan belanja RM10 juta, sebaliknya menjelaskan ia turut
merangkumi kos membaikpulih padang di seluruh negara.
Menurut Faizal Azumu, kos itu sebenarnya akan digunakan bagi kebanyakan padang
stadium yang memerlukan baik pulih atau penambahbaikan di seluruh Malaysia.
"Benar saya ada mengadakan perjumpaan dan berbicara tentang beberapa perkara
dengan Tunku Mahkota Johor termasuk mengenai untuk memperbaiki padang-padang
bola sepak di seluruh negara bukan saja di Bukit Jalil.
"Saya kira ada kemungkinan sembah saya mungkin tidak begitu tepat tetapi
perkara yang dibincangkan adalah untuk padang-padang di seluruh negara, bukan
hanya satu padang di Stadium Nasional.
"Perkara itu sering diingatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim
kepada saya, malah selepas perbincangan itu sering diperingatkan kepada saya
untuk memberi fokus kepada menaiktaraf padang bola sepak di stadium seluruh
Malaysia," kata Mantan Menteri Besar Perak itu. – HMetro
Join our Telegram Channel