UMNO tawar kerjasama dengan DAP-PKR di Melaka



MELAKA: Kerajaan negeri mengemukakan lima tawaran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang demi kestabilan politik, mengekang pandemik Covid-19 serta memulihkan ekonomi, kata Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, merangkumi beberapa perkara di bawah Transformasi Parlimen dan Pentadbiran dengan pembangkang sebelum ini.

Katanya kerjasama itu akan merentasi sempadan politik, agama, ekonomi, budaya dan hal kemanusiaan tanpa membezakan latar belakang keturunan dan bangsa serta sudut pandang berlainan demi kestabilan dan kebajikan rakyat Melaka.


“Pertama, pada Ucapan penggulungan Sempena Perbahasan Usul Bajet Negeri Melaka 2021 lepas, saya telah hulurkan salam persahabatan bahawa ‘sahabat-sahabat di sebelah sana’ menjadi Rakan Strategik kepada ‘pihak kerajaan di sebelah sini’.

“Kedua, saya juga telah naikkan peruntukan emolumen untuk Pusat Khidmat ADUN kepada ‘sahabat-sahabat di seberang sana’ daripada RM42,000 kepada RM60,000 setahun mulai Januari tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri berhenti rehat hari ini.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga menjemput wakil rakyat pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Khas Covid-19 Negeri Melaka yang kini dijenamakan kepada Majlis Pengurusan dan Pemulihan Covid-19 (MPPC) di bawah tawaran berkenaan.


Bagi perkara keempat pula, katanya beliau mencadangkan agar Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang dipengerusikan oleh pegawai daerah bukan sahaja melibatkan ADUN kerajaan, malah turut melibatkan pembangkang.

“Untuk yang keempat ini, saya sendiri akan mengangkat maklum cadangan ini ke pengetahuan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan bagi kebenaran pihak pembangkang menyertai JTPD ini.

“Kelima, saya turut mencadangkan supaya keanggotaan Ahli Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Melaka (MTENM) turut mengundang Rakan Strategik, sahabat kita di sebelah sana untuk menyertainya,” katanya. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram