TERKINI: Osman Sapian diserang angin ahmar



JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dilaporkan telah diserang angin ahmar ketika berada di kediamannya, semalam.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Senator Md. Nasir Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu kepada pemberita.


Menurut beliau, Osman diserang angin ahmar kira-kira pukul 10 atau 11 pagi hari ini sebelum terus dikejarkan ke hospital.

“Saya mendapat tahu perkara itu ketika berada di Dewan Negara, ketika ini. Berita ini mengejutkan kami khususnya bagi Bersatu di Johor,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh memaklumkan Osman akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Saya dimaklumkan beliau berada dalam keadaan yang stabil namun ketika ini akan dihantar ke sebuah hospital di Kuala Lumpur bagi menerima rawatan,” katanya yang memaklumkan akan menziarahi Osman di ibu negara esok.


Osman, 70, yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018.

Pada April 2019, ADUN Kempas itu meletak jawatan sebagai Menteri Besar sebelum Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal dilantik sebagai penyandang seterusnya sehingga Februari tahun lalu. – Utusan


 

Join our Telegram Channel
Telegram