PANAS: Saksi utama kes rasuah terowong Guan Eng mati jatuh kondo, kami tak tekan, dia rela bekerjasama – SPRM



PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan terkenal yang meninggal dunia di Pulau Pinang adalah saksi utama dalam kes rasuah projek terowong dasar laut bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng, kata sumber.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata lelaki berusia 53 tahun itu pernah ditahan untuk siasatan.

Katanya, lelaki itu pernah bekerjasama sepenuhnya dengan pasukan penyiasat dan memberikan keterangan bersumpah untuk membantu kes berkenaan.

“Kita sama sekali tidak menekannya. Dia bekerjasama dengan rela hati. Dia adalah salah seorang saksi utama pendakwaan kes mengenai perjanjian pertukaran tanah,” kata sumber itu kepada FMT.


FMT tidak mendedahkan nama ahli mangsa itu sementara menunggu pengesahan polis.

Pada 2018, ahli perniagaan itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan dakwaan rasuah projek terowong dasar laut.

Dia adalah saksi utama dalam perbicaraan rasuah yang sedang berlangsung itu, namun belum dipanggil ke kandang saksi.

Lim didakwa di Mahkamah Tinggi kerana menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri ketika itu untuk meminta keuntungan 10% daripada pemaju menerusi projek terowong dasar laut.

Beliau juga dituduh meminta wang sogokan sebanyak RM3.3 juta untuk melantik pemaju melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion, yang merangkumi tiga jalan utama.



Selain itu, beliau berdepan dua tuduhan melupuskan tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta kepada dua syarikat.

Terdahulu, polis berkata seorang individu dilaporkan terjatuh dari sebuah kondominium di Jalan Kelawei pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata tiada komen lanjut sementara menunggu siasatan.

Difahamkan, mangsa sudah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan tetapi disahkan meninggal dunia. – FMT
 

Join our Telegram Channel
Telegram