Ustaz Kazim disihir, sakit, kaki bengkak, pakar perubatan tak dapat kesan punca penyakit



IPOH - Keluarga Datuk Mohd Kazim Elias tidak menolak dakwaan kesakitan yang dialami pendakwah terkenal itu ketika ini akibat terkena sihir.

Abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata, Mohd Kazim yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menderita bengkak kaki sejak dua minggu lalu hingga menyukarkannya untuk berjalan.

Menurutnya, pakar perubatan yang ditemui bagi tujuan rawatan tidak dapat mengesan punca penyakit terbabit.

"Ketika saya datang menziarahi Khamis lepas, beliau (Uztaz Kazim) telah menunjukkan beberapa keping gambar yang sepertinya ada unsur-unsur mistik ditemui di jalan yang menjadi kebiasaannya lalu di situ.


"Maka kami tidak menolak kemungkinan unsur (mistik) itu ada berdasarkan keadaan beliau, kami telah melakukan usaha cara perubatan Islam untuk merawatinya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, keadaan Ustaz Kazim ketika ini adalah stabil, tetapi masih memerlukan rawatan susulan di hospital.

Katanya, orang ramai diharap terus mendoakan kesihatan Ustaz Kazim kembali pulih dan dijauhi daripada perkara-perkara tidak diingini.

"Jika benar berlaku unsur-unsur sihir ini, kami amat sedih dan kecewa kerana masih ada orang tergamak melakukannya.

"Sekiranya ada mana-mana individu yang tidak berpuas hati, eloklah datang berbincang dengan cara baik," katanya.



Sementara itu, menerusi perkongsian video 'live' di Facebook pada Khamis, Ustaz Kazim menunjukkan gambar kotak berisi objek yang ditemui di pusat pengajiannya.

Katanya, kotak itu berisi abu dan dalam abu berkenaan terdapat gambarnya yang dibakar, dijumpai di laluan tempatnya mengajar di Pusat Pendidikan al-Barakah di Manjoi.

"Saya tunjukkan sebagai satu pengajaran, kadang-kadang kita pun tak tau apa benda. Cuma kita pandang baik pada ALLAH SWT, ALLAH bagi ini nak naikkan darjat, nak hapuskan dosa kita. Insya-ALLAH, ALLAH maha mengetahui," kongsinya sambil memberitahu, kesakitan yang ditanggung tidak menghalang untuk terus mengajar dan mengadakan ceramah.

Mohd Kazim turut berkongsi keadaannya dirinya yang tidak dapat berjalan disebabkan bengkak kaki dan terpaksa menggunakan topang ketiak sebagai sokongan untuk berjalan.

Sakit kaki itu juga menyebabkan beliau terpaksa bersolat menggunakan kerusi roda. – Sinar

 

Join our Telegram Channel
Telegram