Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) malam tadi cuba meyakinkan pengundi-pengundi Melaka bahawa gabungan itu ialah pilihan terbaik dalam pilihan raya negeri Melaka.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dalam ucapannya yang disampaikan secara dalam talian kerana kekangan kempen fizikal akibat Covid-19, menghentam Umno yang dianggap sebagai seteru utama berbanding Pakatan Harapan.
Walaupun Muhyiddin menyerang PH dengan menyatakan perjuangannya tidak konsisten dengan perjuangan orang Melayu dan Islam, namun bekas perdana menteri dilihat lebih banyak menyerang kepimpinan Umno, khususnya pemimpin yang menghadapi pertuduhan rasuah.
PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli DUN (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov ini sebagai tarikh mengundi.
Muhyiddin berkata dia bekerjasama dengan PH pada masa itu kerana pakatan diperlukan untuk mencabar Najib, tetapi beliau berasa tidak selesa selepas menang dan membentuk kerajaan dengan pakatan terbabit.
"Sewaktu saya berada dalam gabungan itu saya dapati agak sukar, kerana jiwa saya ini tidak boleh tenang sewaktu berada di situ (dalam PH) kerana desakan dan tuntutan serta cara pentadbiran bersama rakan-rakan dalam PH saya kira tidak selari dengan perjuangan saya, perjuangan orang Melayu, perjuangan Islam, apa lagi perjuangan rakyat Malaysia.
“Saya beritahu Tun Dr Mahathir, kalau kita duduk lama lagi di sini Tun (Mahathir), dalam pilihan raya umum akan datang ini kita akan hilang daripada peta, sejarah politik tanah air.
"Pilihan raya (kecil) demi pilihan raya kecil kita (Bersatu) kalah dan antara sebab kekalahan itu adalah orang Melayu melihat Bersatu bergabung dengan kumpulan sebegini, maka tentu pada pandangan masyarakat Melayu dan juga bukan Melayu ini tidak selarui dengan perjuangan kita," katanya.
Namun, Muhyiddin berkata entah bagaimana, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir tidak sependapat dengannya sekali gus meletakkan jawatannya.
"Kami pergi ke rumah beliau (Mahathir) bawa akuan berkanun yang banyak-banyak itu, lebih 131 ahli parlimen nak menyokong beliau tetapi dia buat keputusan menolak," katanya.
Muhyiddin berkata ini mendorong dia untuk mengambil alih dan menjadi perdana menteri seterusnya.
Muhyiddin mengulangi sebagai perdana menteri, sekumpulan tertentu dalam Umno telah menuntut dia campur tangan dalam kes mahkamah.
PN bertanding kesemua 28 kerusi di Melaka. Bersatu akan bertanding 15 kerusi, PAS (8) dan Gerakan (5).
Join our Telegram Channel