KUALA TERENGGANU: PAS mengarahkan semua ahli dan penyokongnya mengundi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata arahan itu turut terpakai walaupun pada kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN).
"Kita pegang amanat yang telah diberikan kepada akar umbi dan jentera untuk mendukung Perikatan Nasional… PAS sudah bersetuju untuk pakai simbol Perikatan Nasional dalam PRN nanti.
"Kita pegang asas kerjasama tiga parti… mestilah berlaku pembahagian kerusi yang adil antara parti-parti (dalam kerajaan). Kalau dia (BN) tak mahu kerjasama terpulang pada dialah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di sini hari ini.
BN pagi ini mengumumkan 28 calon untuk bertanding pada PRN Melaka iaitu 20 kerusi UMNO, tujuh MCA dan satu MIC.
Mengenai calon PAS pula, Abdul Hadi berkata, pengumuman akan dibuat pada 3 petang ini dan memberi bayangan parti itu akan bertanding satu pertiga daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka.
Ditanya sama ada pengumuman BN meletakkan 28 calonnya akan menyebabkan pertandingan tiga penjuru, Abdul Hadi berkata, pintu rundingan masih terbuka selagi belum berlangsungnya hari penamaan calon pada 8 November.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel