Shahrir: Bubar DUN tak semudah tekan butang



Bekas menteri Shahrir Samad mengingatkan Muhyiddin Yassin bahawa membubarkan Parlimen atau DUN bukanlah proses semudah 'menekan butang'.

"Negara kita ni ada Perlembagaan. Negeri pun ada perlembagaan masing-masing. Tambahan pula, ada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Pemerintah dan Yang di-Pertua Ketua-ketua negeri yang juga ada peranan dan tanggungjawab berperlembagaan.

"Nak bubar Dewan Rakyat atau DUN, bukan semudah dengan 'tekan butang' je. Ada prosesnya. Ia tertaklok kepada proses dibawah perlembagaan yang melibatkan peranan Ketua Negara atau Ketua Negeri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.


Shahrir berkata demikian selepas kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan Shahrir sebagai 'bodoh' kerana mencabar Bersatu untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan negeri Johor pimpinan Umno dan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) seperti di Melaka.

Muhyiddin berkata Shahrir tidak bertanggungjawab kerana membuat cabaran sedemikian yang boleh menyebabkan satu lagi PRN mengejut ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

"Niat dia jahat. Saya kenal Shahrir, dia mahu apa yang berlaku di Melaka juga berlaku di Johor," katanya.

Muhyiddin terus memberi amaran bahawa jika dia terus dicabar, dia boleh menekan butang dan "semuanya akan jatuh".


Sementara itu, Shahrir dalam kenyataan sama juga menanggapi dakwaan Muhyiddin bahawa kerajaan pimpinan Bersatu jatuh kerana Umno menarik balik sokongannya kepada PN.

"Soal 'saya jatuh Umno tidak sokong' pun ada kaitannya dengan konsep asas kepada amalan demokrasi kita, iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

"Itu, kalau kita masih boleh ingat," katanya. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram