Bangunan LHDN Melaka retak 8 tingkat



MELAKA: Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Melaka terpaksa ditutup sementara selepas pasukan bomba menemukan kesan retakan di lapan tingkat premis itu dipercayai akibat gempa bumi di Indonesia, pagi tadi.

Difahamkan, bangunan itu berkemungkinan terpaksa ditutup selama tiga hari.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian berkenaan.


“Pasukan bomba telah ke lokasi pada pukul 10.20 pagi tadi dan pemeriksaan di Bangunan LHDN itu menemukan kesan retakan dipercayai baharu berlaku. Pemeriksaan itu turut dilakukan bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Ismail Abd. Rahman,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada JKR untuk menjalankan pemeriksaan lanjut berhubung keselamatan struktur bangunan tersebut selain akan mengeluarkan arahan selanjutnya sama ada premis itu perlu ditutup atau tidak melalui penilaian struktur bangunan.

Terdahulu LDHN menerusi laman sosial Facebook rasminya tadi turut memaklumkan, perkhidmatan kaunter dan telefon di beberapa cawangan di Semenanjung akan mengalami gangguan hari ini.


“Susulan gegaran yang berlaku ekoran gempa bumi di Indonesia, dimaklumkan bahawa perkhidmatan kaunter dan telefon di beberapa cawangan LHDN di Semenanjung akan mengalami gangguan pada hari ini, 25 Februari 2022. Segala kesulitan amat dikesali,” katanya.

Pagi tadi, CNN Indonesia melaporkan, satu gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggoncang wilayah Sumatera Barat. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:

 

Join our Telegram Channel
Telegram