Melayu gagal sebab rasuah – Dr M



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegur sikap bangsa Melayu yang tidak berfikir panjang sebaliknya mudah dan tertarik membuat pilihan untuk menerima rasuah.

Sehubungan itu, beliau terus mengajak orang Melayu untuk bersama-sama menyertai perjuangan menentang rasuah yang banyak memberi kemudaratan.

Mengulas keadaan kesihatan beliau setelah berdepan serangan jantung yang teruk baru-baru ini, Ahli Parlimen Langkawi itu bersyukur kerana pulih dan kembali sihat, hampir seperti biasa.

“Alhamdulillah saya telah pulih dari serangan teruk ke atas kesihatan saya. Demikian semasa diserang saya putus harapan. Saya percaya masa saya sudah tiba.

 
“Tetapi Alhamdulillah hari ini saya kembali sihat, hampir seperti orang biasa. (Jadi) saya tertanya-tanya apakah yang hendak dilakukan oleh saya dengan saki-baki kehidupan ini?

“Apakah ia setakat makan minum, berseronok sahaja. Masa tentu tidak panjang. Saya sudah berumur 97 tahun. Apakah masa yang pendek ini, harus dihabiskan begitu sahaja?,” katanya dalam blog beliau hari ini.

Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu apa-apa lagi, namun ada rakannya yang mengingatkan bahawa seseorang yang tua dan berpengalaman tetap mempunyai pengaruh, sedang bangsa Melayu belum menjadi bangsa yang maju.

“Walaupun Malaysia diiktiraf sebagai Negara Middle Income tetapi orang Melayu belum sampai ke tahap itu. Rata-rata orang Melayu masih miskin.

“Kemampuan saya terhad. Tidak seperti dahulu di waktu saya menjadi Perdana Menteri. Tetapi kawan saya menekan bahawa jawatan tertinggi itu tidak penting.


“Seorang yang sudah tua dan berpengalaman tidak dapat tidak sedikit sebanyak berpengaruh. Jika berminat gunakanlah saki baki pengaruh ini untuk bangsa, katanya.

Bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali itu berpendapat bangsa melalu memandang ringan terhadap rasuah hingga ada pihak yang mengambil kesempatan.

“Tidaklah boleh dinafikan kegagalan orang Melayu disebabkan mereka mudah pilih yang tidak baik kerana mudah. Yang mudah dan dekat lebih menarik apabila membuat pilihan. Mereka tidak fikir panjang.

“Saya tidak akan ulas dengan panjang lebar kenapa rasuah membawa mudarat. Bagi saya dalam jangka masa yang masih ada pada saya, ia tidak menjadi pembaziran jika saya berusaha sungguh-sungguh untuk membanteras rasuah dikalangan bangsa saya.

“Saya jemput semua orang Melayu menyertai perjuangan ini,” katanya. – Agenda Daily



Join our Telegram Channel
Telegram