Akar umbi PAS-Umno selesa dengan Muafakat Nasional



Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata Piagam Muafakat Nasional (MN) telah berjaya menyatukan pengikut parti itu dan Umno di peringkat akar umbi yang telah "bermusuh" sejak sekian lama kerana perbezaan ideologi politik.

Jelasnya, kejayaan menyatukan orang Melayu itu seharusnya diinsafi oleh pemimpin kedua-dua parti bagi mempertahankan MN.

Justeru katanya, PAS akan berusaha mempertahankan MN meskipun ada pihak tertentu cuba untuk meruntuhkannya.

"Umno harus berlapang dada melihat kesan daripada piagam penyatuan ummah (MN) yang telah dimeterai.


"Akar umbi di bawah sana sekarang nampaknya sudah sedang dengan MN dan masyarakat di luar bandar nampak bersatu.

"Kita tak nak matikan (perpaduan) dan PAS masih berusaha mempertahankan MN," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 14 Sep 2019, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menandatangani piagam MN sebagai simbolik termeterainya kerjasama rasmi antara kedua-dua parti.

Upacara kemuncak dalam Himpunan Penyatuan Ummah 2019 itu disaksikan kedua-dua Setiausaha Agung parti itu, Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun hubungan antara dua parti itu renggang apabila PAS memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan Gerakan.

Hubungan "adik beradik" itu bertambah tegang apabila kedua-dua parti itu bertembung dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu, Melaka dan Johor.


Dalam pada itu, Hashim ditanya mengenai serangan segelintir perwakilan Umno terhadap PAS pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 baru-baru ini.

Hashim berkata Umno berhak untuk memperkatakan apa saja tentang PAS dalam MN.

"Saya dengar juga perbahasan mereka. Mereka berhak untuk cakap apa pun, bagi PAS kita bukan setakat nak MN.

"MN lebih daripada itu, adalah satu wasilah untuk jaga perpaduan ummah, perjuangan penyatuan ummah akan diteruskan," katanya lagi. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram