Amerika, Perancis juga maju tanpa UMNO? soal Zahid



TANGKAK: “Kalau begitu Amerika Syarikat juga maju kerana tiada UMNO?”

Itu respons Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mendakwa Singapura maju kerana tiada UMNO.

Menurut Presiden UMNO itu, dakwaan terbabit sama sekali tidak berasas ekoran UMNO juga sebelum ini pernah tertubuh di negara republik berkenaan sebelum nama parti itu diubah kepada nama baharu.

“Dia tak ingatkah Singapura dahulu ada UMNO, tetapi kemudian ditukar kepada PKMS iaitu Persatuan Kebangsaan Melayu Singapore.


“Kalau macam itu, Amerika maju kerana tiada UMNO juga? Atau Perancis? Jadi Kelantan dikira maju pun kerana tiada UMNO?” Soalnya ketika hadir dalam Ramah Mesra Presiden bersama pengundi di PDM Sawah Ring DUN Gambir, di sini hari ini.

Tegas beliau, hal itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai modal kempen dan seharusnya menggunakan kaedah lebih matang jika mahu menjatuhkan pihak lawan berbanding membuat perbandingan cetek.

“Kalau kita mahu memperkecilkan lawan atau rakan politik lain, saya fikir gunakanlah alasan yang lebih bijak. Alasan kebudak-budakan ini kita tak perlu layan, biar intelektual. Saya anggap perkara itu perkara yang terlalu remeh untuk saya berikan respons,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Amar memberi analogi tersendiri ketika berkempen untuk memenangkan Perikatan Nasional (PN) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yakin calon BN Gambir, Sahrihan Jani mampu menumpaskan kubu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRN kali ini.


Beliau dalam ucapannya berkata, penduduk di kawasan itu sudah lali dengan sikap wakil rakyat berkenaan ekoran kegagalan Muhyiddin sewaktu menjadi Perdana Menteri.

“Kenapa dia tak nak bertanding DUN sini? Sebab dia takut kalah. Kali ini kita lihat poster atau banner gambar dia lagi banyak dari calon.

“Dulu Abah Sayang Melaka, rupanya orang Melaka tak sayang abah. Sekarang Abah Prihatin Johor, rupanya orang Johor dah tolak dia,” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram