PN janji air percuma jika menang #PRNJohor



JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) berjanji untuk menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah di Johor jika gabungan itu memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Mac ini.

Ketika melancarkan manifesto gabungan itu bertema “Ikrar PN Demi Bangsa Johor”, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin turut menjanjikan pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana untuk tempoh lima tahun.

Janji berkenaan termasuk dalam lapan tunjang utama yang dipacu 24 strategi dan 144 pendekatan dalam menawan hati rakyat Johor menjelang hari pengundian.


Lapan tunjang itu adalah kepimpinan berintegriti dan bebas rasuah; keutuhan ekonomi; keutamaan tangani kos sara hidup; keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial; kecekapan infrastruktur, kerancakan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Muhyiddin berkata, bagi tunjang utama, iaitu keutuhan ekonomi Johor, kerajaan PN menawarkan Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 bagi memperkasa masa depan ekonomi Johor sebagai sebuah negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Usaha juga akan dipergiat untuk memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dan menjadikan Johor hab digital negara dengan menarik pelaburan syarikat teknologi antarabangsa,” katanya.

Di bawah tunjang “Keprihatinan kepada Rakyat”, Muhyiddin berkata, PN akan menetapkan premium semua lot tanah yang diluluskan kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu Felda bagi tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu Felda pada kadar RM1.00 sekaki persegi.


Selain itu katanya, PN berikrar akan meningkatkan kecekapan infrastruktur, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta jambatan, landasan keretapi, pengangkutan awam dan lapangan terbang.

“Seiring dengan keperluan akses internet, liputan internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan ‘hotspot Wifi’ secara percuma disediakan di pusat tumpuan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, bagi mendepani cabaran perubahan iklim, fokus akan diberikan untuk menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir dan menyediakan pelan induk kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mendepani bencana alam.

“Sistem saliran dan perparitan di kawasan berkepadatan tinggi akan dinaik taraf bagi mengatasi masalah banjir kilat,” katanya. – FMT 


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram