Haram 'prank' curang terhadap suami, isteri – Mufti



SHAH ALAM - Perbuatan melakukan gurauan atau 'prank' kononnya suami atau isteri mempunyai hubungan dengan orang lain semata-mata untuk mengejutkan (surprise) pasangan masing-masing adalah diharamkan dalam Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja menimbulkan panik dan takut, ia juga menyebabkan kebencian serta marah yang membawa kepada keburukan dalam kehidupan.

Menurutnya, ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada hubungan rumah tangga bahkan boleh merosakkan hubungan antara pasangan.


“Ia juga menjatuhkan wibawa suami atau isteri dan boleh menimbulkan buruk sangka yang diharamkan oleh syarak.

“Sengaja menimbulkan buruk sangka orang terhadap diri adalah berdosa kerana sengaja menyebabkan orang lain berdosa.

“Jelas 'prank' konon-kononnya curang (mempunyai hubungan haram dengan orang lain) terhadap isteri merupakan perbuatan yang diharamkan di sisi Islam, maka wajib untuk setiap yang berakal waras menghindarinya,” katanya menerusi penulisan dalam laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis pada Rabu.

Sebaliknya, Mohd Asri berkata, gurau senda yang tidak memberikan kesan buruk terhadap hubungan sesama muslim atau tidak membawa kepada dosa adalah dibolehkan.

Katanya, ia termasuk dalam bab muamalah atau pergaulan antara manusia yang hukum asalnya dibolehkan atau harus selagi tidak terbabit dengan perkara haram.


“Gurau senda yang membawa kepada hubungan baik sesama manusia, apatah lagi sesama Muslim mendapat pahala jika niatnya baik dan caranya betul.

“Gurau senda yang membawa kemesraan antara suami isteri digalakkan oleh agama.

“Namun, menurut al-Imam al-Nawawi, gurauan yang boleh menimbulkan salah faham, kebencian, ketakutan, merendahkan maruah atau penghinaan dan apa-apa kesan buruk haram di sisi syarak,” jelasnya. – Sinar


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram