Solat jemaah online pakwe makwe tak sah – Zulkifli



PUTRAJAYA: Baru-baru ini warganet dikejutkan dengan satu video TikTok memaparkan dua orang dewasa melakukan solat berjemaah secara dalam talian.

Tapi, tahukah bahawa solat berjemaah yang dilakukan itu adalah tidak sah mengikut syarak.

Menjelaskan perkara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, solat itu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikut imam dalam solat berjemaah sebagaimana digariskan oleh ulama.


Menurutnya, solat berjemaah itu sebenarnya bertujuan menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki) dan ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.

“Justeru, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio atau secara dalam talian kerana ia tidak mencapai maksud seperti dikehendaki syarak.

“Tujuan pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah ialah menghimpunkan manusia,” katanya menerusi artikel terbaharu dikeluarkan Portal Maktabah Al-Bakri, hari ini.


Katanya, beliau ingin menasihati semua agar sentiasa berhati-hati dalam soal agama dan merujuk kepada para alim ulama jika ada sebarang persoalan yang timbul.

Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan satu pasangan kekasih sedang solat berjemaah bersama-sama menerusi panggilan video atau video call.

Perbuatan mendapat kecaman ramai pihak kerana ia secara jelas mempermain Islam serta hukum-hakam agama. – Utusan
Join our Telegram Channel
Telegram