NEW DELHI – India dilaporkan tanpa sengaja melancarkan sebuah peluru berpandu
ke Pakistan pada Rabu lalu dengan New Delhi menyalahkan insiden tersebut
kepada ‘kerosakan teknikal’ semasa operasi penyelenggaraan, lapor Badan
Penyiaran British (BBC) semalam.
India juga menyuarakan kekesalan berhubung kejadian itu dan lega kerana tiada
kemalangan jiwa berlaku.
Tentera Pakistan pula memaklumkan, peluru berpandu tersebut jatuh dekat bandar
Mian Channu, timur Pakistan, manakala laluannya di udara telah membahayakan
penerbangan komersial.
“Pada 9 Mac lalu, semasa penyelenggaraan rutin, kerosakan teknikal menyebabkan
sebuah peluru berpandu dilancarkan secara tidak sengaja. Kerajaan India
memandang serius dan mengarahkan siasatan rasmi dijalankan,’’ demikian menurut
kenyataan Kementerian Pertahanan India.
“Islamabad memberi amaran kepada New Delhi untuk lebih berhati-hati dan
mengelak insiden serupa daripada berulang. Peluru berpandu itu dilancarkan
dari bandar Sirsa dalam negeri Haryana,’’ tambah kenyataan sama.
Tentera udara Pakistan berkata, peluru berpandu itu bergerak pada kelajuan
3,704.4 kilometer sejam atau tiga kali ganda kelajuan bunyi. Ia bergerak
pada ketinggian 12,000 meter sejauh 124 kilometer di ruang udara Pakistan
sebelum jatuh.
“Laluan penerbangan objek itu membahayakan banyak pesawat komersial dari dalam
dan luar negara, sama ada di ruang udara India mahupun Pakistan. Kesilapan ini
melibatkan risiko nyawa manusia dan harta benda,’’ kata jurucakap tentera
Pakistan, Mejar Jeneral Babar Iftikharon pada Khamis lalu.
Kementerian luar Pakistan kelmarin berkata, pihaknya telah memanggil wakil
kedutaan India untuk mengadu mengenai insiden berkenaan.
Pakistan juga menggesa India untuk berkongsi hasil siasatannya terhadap apa
yang berlaku. – Agensi
Join our Telegram Channel