Lelaki dedah penipuan takaful dan insurans, fikir dulu sebelum berhenti kerja jadi agen



Rakyat Malaysia sering dimomokkan bagaimana pekerjaan menjadi ejen takaful atau insurans akan memberi anda kebebasan yang anda mahukan. Kebebasan ini hadir dalam pelbagai bentuk, baik dari segi masa mahupun kewangan.

Selain itu, ia juga sering dipotretkan bahawa mereka yang menjadi ejen takaful atau insurans bakal memperoleh kekayaan yang luar biasa dan menjadi bos kepada diri sendiri.

Namun, dalam pada semua kecantikan yang dipaparkan, masih wujud sisi gelap yang ramai tidak tahu. Dan menerusi perkongsian seorang individu yang dikenali sebagai Muhammad Ooi di Facebook, beliau tampil menceritakan sisi lain dunia insurans dan takaful.


Berikut adalah pendedahan yang sudah disunting oleh pihak The Vocket:

Adalah menjadi kebiasaan apabila ketua takaful atau insurans ‘cucuk’ minta buat pekerjaan ini sepenuh masa. Maknanya berhenti kerja sedia ada dan buat sepenuh masa. Pada pemahaman minda kita bahawa ini adalah kerja yang akan membawa jalan ke arah financial freedom dan jadi bos kepada diri sendiri.

Saya nak beritahu, usah percaya sangat cakap ketua itu. Dia bukan ikhlas pun -nampak buruk sangka? – sebab perkara ini ada overriding. Ketua takaful atau insurans nak lagi ramai sertai dia secara sepenuh masa supaya lagi banyak yang boleh overriding dia.

Ketua akan beri harapan kebebasan masa, melancong percuma, perniagaan boleh diwarisi dengan mudah, boleh pakai kereta besar. Anda perlu tahu, ketua juga ada yang tercungap-cungap bayar ansuran kereta. Tutup cukai jalan tamat tempoh dengan risalah, takut anak buah nampak.

Saya cuma nak ajak ejen atau bakal ejen, agar jangan terburu-buru berhenti kerja yang ada pendapatan yang stabil. Kalau ada wang simpanan gaji bersamaan dua tahun atau lebih, kalau tiba-tiba pendapatan anda tiada pun masih mampu bertahan – tanpa berpeluh sejuk – untuk buat kerja ini sepenuh masa.



Ejen baru, pada peringkat awal adalah normal, ejen ini ada momentum agak tinggi kerana masih ada circle of friends dan keluarga untuk disokong. Maka, banyaklah kes yang ejen baru ini dapat hantar. Tetapi, jika pool of friends sudah habis, masa itu barulah cabaran sebenar bermula.

Dalam kontrak ejen, anda hanyalah ejen atau wakil. Sekadar itu sahaja. Bukannya pekerja. Jika anda gagal memenuhi keperluan persistency 85% dan lain-lain keperluan syarikat dan BNM, syarikat berhak menamatkan kontrak anda tanpa perlu bagi apa-apa penjelasan atau pampasan. Jika anda ditamatkan kontrak, dan mahu bermula balik. Anda akan bermula dengan pendapatan KOSONG.

Tahukah anda siapa yang boleh cadangkan kepada syarikat untuk tamatkan kontrak anda?

Jawapannya adalah ketua. Ketua sama yang sebelum ini melayan anda dengan baik, selalu rapat, sering belanja makan, lembut gigi dari gusi selama ini. Anda mungkin anggap dia kawan, tetapi mungkin dia anggap anda sebagai alat atau kuda tunggangan sahaja.

Syarikat akan utamakan ketua berbanding ejen, walaupun ejen bergelut dengan pelbagai masalah yang menggunung. Ini bukan masalah mereka. Masing-masing jaga periuk nasi sendiri sahaja. Ketua boleh tugaskan ejen lain ambil alih semua pelanggan lama anda. Mereka tak mahu simpan ejen yang tiada performance atau persistency rendah. Virus katanya.


Mungkin anda pernah tengok kawan-kawan nampak berjaya dalam bidang ini, kadang-kadang mereka hanya malu mengaku masalah yang dihadapi. Mana tidaknya, dahulu selalu cerita pasal jadi bos sendiri, kereta besar, kebebasan dan sekarang tiba-tiba ada masalah. Siapa yang mahu mengaku? Ini realiti. Bukannya menghina.

Adakah saya dengki kawan-kawan sertai tafakul atau insurans? Ada niat nak jatuhkan semangat mereka? Tidak, saya sekadar mahu gunakan bahasa terus terang, agar kawan-kawan nampak sisi gelap dan risiko ‘karier’ ini.

Kalau ada kawan-kawan mahu cerita di ruangan komen, silakan. Cuma saya rasa elok saya kongsi pandangan ini, mudah-mudahan ada kebaikan.

Penafian: saya tidak kata semua ketua bersikap seperti itu. Memang ada yang baik sungguh, rezeki masing-masing.

– Muhammad Ooi 



Join our Telegram Channel
Telegram