Lelaki direman cabul budak lapan tahun di tepi tali air



BACHOK: Polis menahan seorang pemuda kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di tepi tali air di Kampung Telok Merbau, Perupok di sini minggu lalu.

Lelaki berusia 20 tahun dicekup di rumahnya di sini semalam selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa yang berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin ketika mengesahkan perkara itu berkata, kejadian menimpa mangsa dimaklumkan oleh sepupunya yang berusia tujuh tahun kepada ibu mangsa.


“Berdasarkan keterangan ibu mangsa, lelaki itu dikatakan mendekati mangsa yang sedang bermain di situ minggu lalu sebelum didakwa memegang beberapa anggota badan dan kemaluan mangsa. 

“Tidak cukup dengan itu, pemuda itu didakwa melakukan perbuatan sama selepas mengajak mangsa pergi ke kawasan tali air tersebut, semalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Ismail memberitahu, siasatan mendapati, mangsa tidak mengenali suspek, namun, pernah melihat lelaki itu di rumah neneknya kerana suspek dikatakan berkawan dengan salah seorang ahli keluarga mereka.


“Susulan laporan diterima pihak polis, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu dan pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ujian air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan dia direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram