Bekas guru dipenjara 30 tahun, 2 sebatan rogol murid 12 tahun



PUTRAJAYA – Seorang bekas guru berusia 58 tahun diperintah menjalani hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan dikenakan dua sebatan atas dua kesalahan merogol seorang murid berusia 12 tahun di sebuah chalet di Papar, Sabah, lapan tahun lalu.

Bagi setiap kesalahan, Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Zalani Amit menjalani hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan. Hukuman berkuatkuasa secara berturut-turut.


Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil selepas membenarkan rayuan akhirnya terhadap hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian secara dalam talian, bagaimanapun menolak rayuan Zalani terhadap sabitan.

Mahkamah mendapati sabitan bagi tuduhan ketiga dan keempat selamat untuk dikekalkan selepas berpuas hati rayuan bekas guru tersebut tiada merit.


Pada prosiding itu, panel berkenaan turut menolak rayuan silang pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Zalani terhadap dua lagi tuduhan merogol mangsa yang sama.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Abdul Karim berpendapat Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya yang membolehkan panel berkenaan campur tangan dan mengubahnya.

Zalani diwakili oleh peguam Ram Singh manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram