Pemuda PAS desak PN beri laluan tanding di Parlimen Bagan Serai



IPOH – Pemuda Pas Kawasan Bagan Serai mendesak Perikatan Nasional (PN) memberi laluan kepada Pas untuk bertanding kerusi Parlimen Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Mohd Hanif Abd Karim berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid menerusi memorandum yang dihantar pada 21 Mac lalu.


Menurut beliau, tuntutan itu berasaskan fakta-fakta kukuh kerana antaranya Pas kawasan mempunyai bilangan jentera, cawangan yang lebih kuat dan banyak berbanding parti gabungan lain.

“Pas kawasan telah membina hubungan yang sangat rapat dengan masyarakat terdiri daripada para ulama, ustaz dan individu yang berpengaruh di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam kawasan Parlimen Bagan Serai.

“Pas Kawasan Bagan Serai juga mempunyai prasarana yang lengkap hampir di setiap cawangan,” katanya mengesahkan mengenai memorandum tersebut kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sementara itu, Abdul Aziz dalam kenyataan yang dipetik menerusi Facebook Pas Kawasan Bagan Serai menjelaskan memorandum tersebut akan diteliti dan diperhalusi serta diberikan maklum balas sewajarnya dalam masa terdekat.


Kerusi Parlimen Bagan Serai dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu menerusi wakilnya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menewaskan calon Pas, Rohaya Bakar dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Asmuni dengan majoriti 172 undi.

Bagaimanapun pada 28 November 2018, Dr Noor Azmi bertindak keluar parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan 1 di dalam kerajaan PN yang dibentuk bersama BN, Bersatu dan Pas.

Pada 5 Julai 2021, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi laporan eksklusif bersama Utusan Malaysia menyatakan hasrat mahu bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai pada PRU15 tetapi perkara itu dinafikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram