PETALING JAYA: Veteran Umno, Shahrir Samad “malu” atas ura-ura Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Hasni Mohammad tidak dilantik semula Menteri Besar Johor susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu.
Shahrir yang juga Ketua Umno Johor Bahru berkata, beliau malu kerana cerita itu (Hasni tidak dilantik Menteri Besar) sampai kepadanya secara berbisik-bisik.
“Mula-mula cerita itu sampai ke saya secara bisik-membisik. Saya hanya terdiam.
“Tadi, adanya kenyataan media oleh Hasni. Bahasanya teratur dan sungguh halus. Tapi ia mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar Johor. Malu saya,” tulis beliau di Facebook.
Katanya lagi, beliau ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon Menteri Besar mereka.
“Umno sudah pasti dengan Hasni sebagai Menteri Besar. Tapi itu tidak cukup kuat dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa.
“Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung minggu ni. Boleh mendapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan,” katanya.
Beliau juga mengubah pendirian untuk tidak bercakap atas kapasiti ketua bahagian yang beliau sepatutnya diberi peluang untuk berucap pada perhimpunan itu.
“Taklah sehebat mana Umno Johor. Patut saya juga jurucakap Umno Johor di PAU kali ini. Tapi kalau saya sudah malu nak ke PAU atas nama bahagian Umno dari negeri Johor, tidak adalah saya nak cakap apa-apa pun.
“Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Hasni,” katanya.
Dalam kenyataan petang tadi, Hasni menggesa pimpinan BN memilih orang muda menerajui Johor susulan kemenangan besar gabungan itu pada PRN Johor Sabtu lalu.
Menurutnya, cadangan tersebut dibuat selepas melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting terhadap pembangunan negeri.
“Melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri Johor,” katanya.
Spekulasi bertebaran ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi akan dilantik sebagai Menteri Besar baharu Johor, dan akan mengangkat sumpah jawatan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Sultan Johor akan putuskan siapa MB petang ini
- Hasni cadang orang muda pimpin Johor
- TERKINI: Onn Hafiz dikhabarkan bakal MB Johor
- Shahrir Samad ‘malu’ Hasni tidak dilantik MB Johor
- SAH: Onn Hafiz MB Johor ke-19
- Ampun Tuanku, berotaklah sedikit, kata Zaharin selepas Sultan Johor perkenan Onn Hafiz sebagai MB
Join our Telegram Channel