Zarina Anjoulie didenda RM4,000 mengaku salah kes dadah



Seremban: Selebriti sensasi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, semalam, atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada Jun tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap selebriti berusia 34 tahun itu yang dikenali sebagai Anju selepas dia membuat pengakuan bersalah.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman mengesahkan perkara itu.

Pendengaran kes Zarina Anjoulie sepatutnya berjalan hari ini, namun peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon kepada mahkamah untuk diadakan lebih awal iaitu pada Selasa.

Selain didenda RM4,000, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun dan jika gagal membayar denda berkenaan dia berdepan hukuman penjara empat bulan.

Bagaimanapun Zarina Anjoulie membayar denda itu, semalam.


Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Pada 13 September lalu, Zarina Anjoulie didakwa di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine dan air kencingnya didapati positif dadah jenis itu pada Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram