Muhyiddin sedar PN tak mampu tumbangkan BN – Hashim Jasin



PETALING JAYA: Tindakan Muhyiddin Yassin bertemu dengan pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal bukan petanda Bersatu tidak lagi yakin dengan PAS, kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata pertemuan itu dipercayai usaha untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tak juga cuma dia nak bertambah kuat lagi agaknya,” katanya ketika ditanya sama ada tindakan Presiden Bersatu itu seolah-olah tidak percaya terhadap rakan komponen dalam PN – PAS dan Gerakan.


Beliau mengulas mengenai pendedahan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Mahathir bahawa Pengerusi Pejuang itu didatangi Muhyiddin untuk mendapatkan sokongan menjadi Perdana Menteri ke-10.

Sementara, Presiden Warisan, Shafie Apdal turut memaklumkan Pengerusi PN itu ada menghubunginya untuk membentuk kerjasama politik menjelang PRU15.

Dalam pada itu Hashim tidak menolak kemungkinan pertemuan itu dibuat selepas Muhyiddin menyedari PN tidak mampu menumbangkan Barisan Nasional selepas beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini.

“Kemungkinan juga selepas keputusan PRN Melaka dan Johor, dia mempunyai pandangan tertentu untuk bersama (membentuk) kerajaan. Itu terpulang kepada Bersatu.

“Macam mana pun keputusan dia, (ia) masih rahsia lagi. Kita tunggulah (butiran perjumpaan itu),” katanya.


PRN Melaka menyaksikan PN hanya mampu menang dua kerusi berbanding BN menang bergaya dengan 21 daripada 28 kerusi. Baki lima kerusi diisi oleh PH.

Sementara itu, di Johor, PN menang di tiga kerusi manakala BN menang 40; PH (11), MUDA (satu) dan PKR (satu).

Mengenai pendirian PAS untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selain rakan komponen dalam PN, beliau berkata, parti itu sentiasa terbuka untuk membentuk kerjasama demi perpaduan ummah.

“Sama ada berjaya atau tidak kita akan teruskan dengan usaha perpaduan ummah ini. Tak kisah dengan mana-mana parti janji tidak melanggar syariat Islam,” tegasnya.



Join our Telegram Channel
Telegram