Pejuang yang jumpa saya dulu – Muhyiddin



SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa beliau berjumpa dengan pimpinan utama parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, ia adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan pemimpin parti-parti politik dan masih tiada keputusan muktamad dibuat.

Jelasnya, perkara tersebut dilakukan memandangkan terdapat beberapa pemimpin parti politik termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berjumpa dengannya setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai.


“Selepas PRN Johor, saya didatangi oleh beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Parti Pejuang. Mereka menyuarakan pandangan kepada saya bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional (BN) merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15.

“Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong Barisan Nasional yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi, tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

“Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Pada Jumaat, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin berjumpanya untuk meminta sokongan dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau tidak diberitahu mengapa Ahli Parlimen Pagoh itu meminta sokongannya.


Menurut Muhyiddin, parti yang berjumpa dengannya sependapat untuk mengelak pertembungan banyak penjuru dalam PRU15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa.

“Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik. Oleh itu, saya telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU15.

“Pertemuan saya dengan Tun Dr Mahathir yang diatur selepas seorang pemimpin kanan parti Pejuang datang menemui saya adalah sebahagian daripada inisiatif ini,” ujarnya. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram