Muhyiddin terdesak? Selepas jumpa Dr M, dia call saya, dedah Shafie Apdal

MOHD. Shafie Apdal ketika ditemui media selepas perjalanan dokumentari politik beliau di RexKL, malam tadi. - UTUSAN/AFIQ RAZALI


KUALA LUMPUR: Selepas berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat terdesak apabila Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mendedahkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ada menghubunginya, dipercayai bagi membentuk kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Presiden Parti Warisan (Warisan) itu sudah memberikan kata putus untuk menolak permintaan tersebut selepas apa yang berlaku sebelum ini.

“Dia ada berhubung dengan saya. Dia telefon dengan saya, (tetapi) saya bagitahu teruskan apa awak punya agenda, saya tak nak.


“Saya jelas dalam perkara ini saya maklumkan dengan dia, awak tahu (yang) saya sudah melakukan bahagian saya semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tetapi selepas apa yang terjadi dan selepas melakukan Langkah Sheraton, (saya) sangat konsisten dalam nilai dan perjuangan saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas tayangan perdana dokumentari perjalanan politik beliau di RexKL, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu yang sebelum ini didatangi Muhyiddin.

Menurut Mohd. Shafie, Warisan ketika ini masih dalam keadaan bebas dan menumpukan untuk memperkuatkan parti itu sama ada di Sabah atau Semenanjung.

Namun katanya, parti itu akan tetap menilai mana-mana parti dalam menjalin kerjasama menjelang PRU-15 terutamanya yang mempunyai nilai-nilai yang tidak mencemarkan pentadbiran dan negara ini.


“Warisan tak boleh hanya bergantung dengan duduk di Sabah saja dan kita tahu bahawa perlu kerjasama dengan rakan-rakan kita dari Semenanjung, itu kita sedar dan tahu. Contohnya perubahan yang kita lakukan dalam gelanggang PRU-14.

“Tetapi pada yang akan datang ini, kita teliti secara mendalam bagaimana kita melihat smart partnership, tetapi smart partnership (yang memberi) keutamaan dengan rakyat.

“Keputusan bergantung kepada rakyat. Kita kena melihat mana kehendak rakyat. Contohnya apabila menjelang pilihan raya akan datang, selepas pilihan raya dan rakyat pandang lagi kepada mana-mana dan kita lihat bagaimana untuk pastikan supaya ada kekitaannya,” jelasnya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram