MP PAS dedah ada pimpinan tertinggi mahu kerjasama PN-PH



Ahli parlimen PAS Khairuddin Aman Razali mendedahkan terdapat cadangan sebelum ini agar Perikatan Nasional (PN) mengadakan rundingan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menentang BN dalam PRN Johor. 

Katanya, sekiranya persetujuan itu dicapai, beberapa kerusi akan dapat dirampas PN dan PH daripada BN, dengan memberikan contoh DUN Bukit Pasir, Serom dan Tenggaroh.

Namun, katanya, PAS menolak cadangan itu atas dasar prinsip.

Justeru Khairuddin berharap agar cadangan sedemikian tidak ditimbulkan lagi buat kali kedua hanya semata-mata demi meraih kemenangan.


“Politik serba mungkin. Jika PN membuat persefahaman rundingan kerusi dengan PH beberapa kerusi PN boleh menang melawan BN.

“Saya difahamkan sudah ada cadangan seperti ini sebelum PRN Johor tetapi ditolak oleh PAS kerana prinsip.

“Jika benar, harapnya jangan ada yang cuba melontarkannya untuk kali kedua demi mencapai kemenangan kerusi.

“Dalam politik yang tidak berprinsip, musuh boleh bertukar kawan dan kawan boleh menjadi lawan demi mencapai matlamat,” katanya di Facebook.

Tiga kerusi yang disebutkan Khairuddin itu, katanya, menyaksikan pecahan undi yang akan memihak kepada PN dan PH jika dua gabungan itu bekerjasama.

Katanya, gabungan undi PN dan PH mampu mengalahkan BN di DUN Bukit Pasir (PN 5,850 undi dan PH 4,676 undi berbanding BN 6048 undi), Bukit Serom (PN 5,850 undi dan PH 4,676 undi berbanding BN 6,048 undi), serta DUN Tenggaroh (PN 9,172 undi dan PH 1,529 undi berbanding BN 10,528 undi).



Untuk rekod, ahli parlimen Kuala Nerus itu sebelum ini dilihat sebagai tokoh dalam PAS yang lebih cenderung kepada kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Umno, berbanding PN bersama Bersatu.

PRN Johor menyaksikan BN menang besar dengan meraih majoriti dua pertiga apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.

Kejayaan itu menyaksikan Johor kembali ke tangan BN dengan pencabarnya berputih mata dan terpaksa berpuas hati dengan baki kerusi yang terpecah antara PH (12 kerusi), PN (tiga kerusi) dan Muda (satu kerusi).

Bagi PN, Bersatu yang menang lapan kerusi pada PRU 2018 kini tinggal dua kerusi manakala PAS pula memenangi satu kerusi. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram