Orang ramai dijemput nikmati view Bumi dengan belon angkasa serendah AS$125,000 (11 gambar)



WASHINGTON: Sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan orang ramai merasai pengalaman mengembara ke angkasa lepas, tampil mendedahkan butiran lanjut mengenai kapsul berbentuk belon angkasa gergasi.

Memetik laporan Daily Mail, Space Perspective berkongsi beberapa ilustrasi memaparkan reka bentuk dalaman mewah belon angkasa itu. 


Kapsul itu menampilkan kabin penumpang dilengkapi dengan tingkap setinggi 1.5 meter berwarna tona gelap dan ungu, sebuah bar dan akses internet tanpa wayar (WiFi).

Setakat ini, syarikat itu sudah menjual lebih 600 tiket penerbangan pada harga AS$125,000 (RM528,507) yang menjanjikan penumpang pemandangan bumi yang menakjubkan.

Space Perspective berharap dapat melancarkan kapsul tersebut dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Florida menjelang akhir 2024.

Belon angkasa gergasi itu tidak akan sampai ke orbit namun sebaliknya mencapai ketinggian 32.18 kilometer (km) di atas bumi.


Ia jauh lebih rendah berbanding kapsul Virgin Galactic yang mencapai ketinggian kira-kira 80.43km.

“Kapsul kami akan berada di atas 99 peratus atmosfera bumi.

“Kami mahu mengubah pemikiran orang ramai mengenai pengembaraan ke angkasa lepas sehingga menjadikannya lebih mudah diakses dan dihampiri,” kata pengasas bersama Space Perspective, Jayne Poynter. – Utusan


















 

Join our Telegram Channel
Telegram