Pasangan cef hotel ditangkap khalwat sehari sebelum Ramadan



MELAKA: Seorang lelaki berstatus suami orang dicekup berkhalwat dengan pasangan kekasihnya di sebuah hotel bajet di Banda Hilir di sini hari ini.

Lelaki berusia 40-an dan pasangannya 20-an dicekup dalam operasi dilakukan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.

Pengarah JAIM, Datuk Che Shukri Che Mat berkata, pasangan itu dicekup selepas gagal menunjukkan dokumen pernikahan.


Katanya, hasil soal siasat, lelaki terbabit mengakui telah berkahwin, namun tinggal berjauhan dengan si isteri sejak dua tahun lalu dan mempunyai tiga orang anak.

“Pasangan kekasih itu mendakwa mereka bekerja sebagai cef di hotel di sini dan menginap untuk berehat.

“Lelaki berkenaan bagaimanapun mengakui telah berkahwin tetapi isterinya menetap dan bekerja di Selangor bersama-sama tiga orang anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Che Sukri memberitahu, pasangan itu juga mengakui telah menjalinkan hubungan sulit sejak setahun yang lalu dan kerap menginap bersama.


“Wanita terbabit memberitahu dia mengetahui status lelaki tersebut yang merupakan suami orang. Pasangan ini kita berjaya cekup selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan mereka,” jelasnya.

Tambahnya, pasangan berkenaan dibawa ke pejabat JAIM untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat) yang mendatangkan syak melakukan maksiat sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram