Pengasas perubatan Islam jarak jauh terkenal ditangkap khalwat



ALOR GAJAH – Lelaki dipercayai pengasas sebuah pusat perubatan Islam jarak jauh terkenal di negeri ini ditahan selepas disyaki berkhalwat dengan pekerjanya dalam sebuah rumah di Masjid Tanah, di sini pada malam Selasa.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan pada jam 11.30 malam itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai kegiatan tidak bermoral warga emas terbabit yang turut mempunyai ribuan pengikut termasuk mempunyai saluran Youtube sendiri.

Menurutnya, lelaki warganegara jiran yang digelar Tok Guru Diraja berusia 60-an itu bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah bersama pasangannya itu berusia 40-an yang didakwa dinikahi sejak 10 tahun lalu.


Katanya, individu yang ditahan bersama pasangannya mendakwa telah berkahwin di negara jiran pada tahun 2012.

"Kita menerima aduan dan penguat kuasa JAIM telah ke lokasi serta mengesan aktiviti maksiat di sebuah rumah teres.

"Mereka gagal mengemukakan dokumen pernikahan yang sah dan memberi alasan dokumen telah diserahkan kepada pihak lain untuk urusan pendafftaran meskipun hampir 10 tahun berlalu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana berkurung atau bersekediaman sehingga mendatangkan syak dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.


Mengulas lanjut beliau berkata, JAIM sedang memantau kaedah perubatan jarak jauh bagi membuang saka yang diamalkan lelaki terbabit sehingga mempunyai ribuan pengikut di seluruh negara.

Katanya, setakat ini pihaknya sedang menunggu keputusan terakhir daripada Jawatankuasa Fatwa dan sekiranya kaedah rawatan yang digunakan itu bertentangan dengan Islam, maka mereka berhak untuk menghalang.

"Jadi saya juga menasihatkan pengikutnya dan orang ramai supaya menjauhi kaedah rawatan tersebut jika benar ia bertentangan dengan Islam," katanya. – Sinar


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram