2 tukang cuci masjid didakwa rogol remaja 13 tahun



PETALING JAYA: Dua tukang cuci masjid dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan merogol seorang remaja perempuan di Kota Bharu, Kelantan, tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan yang berusia 13 tahun empat bulan semasa kejadian, menurut laporan Utusan.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah garaj di Kota Bharu antara 11 malam hingga 5 pagi, 28 hingga 29 Julai 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nor Alini Ahmad Jamil.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh selepas mendapati mereka melakukan kesalahan serius terhadap mangsa.


Nor Alini dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan kedua-dua tertuduh diikat jamin yang rendah kerana mereka hanya bekerja sebagai tukang cuci masjid untuk mencari rezeki bagi membantu keluarga masing-masing.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu tidak dibenarkan oleh mahkamah untuk diikat jamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Julai depan.



Join our Telegram Channel
Telegram